Soalan popular masa akad nikah

Majlis akad nikah adalah satu upacara yang menggerunkan kepada pengantin lelaki. Acara tersebut biasanya akan ditontoni oleh keluarga, tetamu dan rakan-rakan terdekat. Perasaan gemuruh pasti ada dan mungkin menyebabkan pengantin tidak tenteram dan gelisah.

Persediaan yang rapi dan sentiasa bersedia bila berhadapan dengan jurunikah atau tok kadi adalah sangat penting agar tidak ada perkara yang memalukan dilakukan sewaktu upacara bersejarah tersebut. Bakal ibu dan bapa mertua mungkin akan menilai diri kita sebenar bila kita berada dalam situasi genting tersebut.

Diantara soalan yang sering diajukan adalah :

1. Mengucap 2 Kalimah Syahadah

Dalam keadaan yang gemuruh kadang-kala kita tidak menyangka yang kita terbaca doa makan ketika jurunikah meminta kita mengucap 2 kalimah syahadah. Pastikan anda baca dalam hati terlebih dahulu dan kemudian lafazkan kalimah suci ini di hadapan jurunikah.

2. Beristighfar

“Astaghfirullah hal Azim” adalah memohon keampunan dan keredhaan Allah. Istighfar juga baik untuk menenteramkan jiwa dan menenangkan diri.

3. Rukun Nikah

Rukun nikah ada 5. Bila ditanya oleh jurunikah pastikan anda sebut kelima-limanya di dalam susunan yang betul supaya ianya lebih sempurna. Ianya bermula dengan, Suami, Isteri, Saksi, Wali dan Akad Nikah atau Ijab Qabul. Formula mudah untuk mengingatinya adalah S.I.S.W.A (Suami, Isteri, Saksi, Wali, Akad Nikah)

4. Siapa Nama Bakal Isteri?

Soalan ini agak kurang popular berbanding soalan di atas, tetapi impaknya cukup mendalam. Kadang-kadang anda ber’baby-baby’ dengan bakal isteri sampai lupa nama penuhnya. Pastikan bila ditanya anda sebut nama penuh bakal isteri siap berbinti sekali ya. Kerana nama penuh bakal isteri juga akan anda sebut waktu melafazkan akad nanti.

5. Baca Al-Fatihah

Mudah sahaja kan? Sebagai seorang muslim kita wajib tahu dan hafal surah al-Fatihah. Kalau tak hafal, hentikan niat anda untuk berbini. 🙂

Ingat, yang penting anda harus bertenang. Sekiranya anda disuakan dengan microphone, jangan panik. Anggap sahaja konsert anda dah nak bermula.

6. Doa Qunut

Doa qunut dibaca di dalam raka’at kedua solat Subuh. Jangan ada yang tanya qunut pendek ke panjang ye.